IoT dalam bidang Pertanian, banyak perkakasan ‘sensor’ canggih digunakan dan dihubungkan dengan jaringan ‘internet cloud’ atau satelit untuk memberi maklumat secara ‘real time’ kepada kita tentang data dari segala ‘sensor’ tadi, agar keputusan-keputusan tepat dapat diambil oleh para petani.

Aplikasi yang berfungsi dengan IoT di dalam bidang pertanian telah membantu ramai petani memantau takat air berbaja di dalam tangka agar proses pengairan tanaman dilakukan dengan lebih efisyen. Teknologi IoT membantu proses pertanian dapat dilakukan dengan lebih cekap di mana segala ‘sensor’ membantu setiap langkah petani mengenalpasti tempoh, kos dan jumlah sumber yang diperlukan daripada sebiji anak benih, sehingga menghasilkan sayuran atau buah yang ranum segar bugar.

‘Internet of Things’ dalam bidang pertanian sebenarnya telah mencapai satu tahap baru dalam revolusi pertanian oleh umat manusia. Hasilnya para petani memperolehi hasil berganda daripada sebelumnya. IoT bukan sahaja banyak membantu mengurangkan kos petani dan meningkatkan hasil, malah meningkatkan kecekapan para petani membuat keputusan yang cekap dengan data yang tepat.

1. Keadaan Iklim

Iklim memainkan peranan penting dalam pertanian. Kurangnya maklumat tentang iklim dan cuaca akan merendahkan tahap kualiti dan kuantiti pertanian yang dihasilkan. Namun alangkah bertuahnya kita dengan solusi teknologi IoT ini kita dapat mengetahui cuaca terkini, esok, dan lusa dengan ramalan yang hampir 80% tepat. Sensor diletakkan di tengah-tengah kawasan pertanian dan akan mengumpul data daripada persekitaran. Ini membantu petani membuat keputusan untuk menanam apa dalam musim tertentu.

Ekosistem IoT dalam pertanian biasanya melibatkan ‘sensor’ cuaca, kelembapan udara, taburan hujan, suhu, kadar kandungan asid dan alkali dalam tanah, dan sebagainya dengan tepat. Ada banyak lagi jenis ‘sensor’ yang boleh digunakan bagi mengetahui situasi iklim dan cuaca persekitaran kawasan pertanian dan jika ada sebarang gangguan dalam cuaca, maka sistem IoT akan memberi amaran dengan segera secara ‘real time’. Maka petani tidak perlu lagi setiap hari ada di lapangan untuk melihat cuaca persekitara dan boleh menggunakan masanya untuk perkara lain yang produktif.

2. Pertanian Tepat & Jitu

Pertanian tepat dan jitu (Precision Agriculture) ialah aplikasi paling popular bagi IoT dalam bidang pertanian. Ini menjadikan proses pertanian menjadi lebih tepat dan terkawal, baik dalam bidang penternakan haiwan, pemantauan, pengesanan kenderaan, pemantauan ladang, dan pemantauan inventori. Matlamat pertanian tepat dan jitu ini adalah untuk membolehkan kita analisis data yang dihasilkan melalui pelbagai ‘sensor’, agar para petani bertindak berpandukan maklumat dan data-data tersebut.

Terdapat banyak jenis teknik dalam pertanian tepat dan jitu ini antaranya pengurusan pengairan, pengurusan haiwan ternakan, dan sebagainya bagi meningkatkan kadar efisyen dan efektif dalam pertanian. Petani juga boleh meng-analisa keadaan tanah dan segala yang berkaitan dengan parameter untuk mencapai tahap optimum dalam operasi pertanian. Segala maklumat seperti tahap nutrient di dalam kandungan air dan tanah juga dapat dikenalpasti secara ‘real time’ menggunakan perkakasan di tangan para petani.

 3. Rumah Hijau Pintar

Untuk menjadikan rumah hijau para petani ini pintar, IoT membolehkan stesen cuaca di dalam rumah hijau ini menghasilkan iklim dan cuaca yang kondusif kepada tanaman secara automatik melalui arahan-arahan yang telah diprogramkan. Penggunaan teknologi IoT dalam rumah hijau akan mengurangkan campur tangan manusia, menjadikan kos proses pertanian efektif, dan meningkatkan kadar ketepatan pertanian. Sebagai contoh, menggunakan tenaga solar untuk rumah hijau akan menjadikan ia moden dan kos rendah. Segala sensor yang ada akan memantau keseluruhan ekosistem dalam rumah hijau dan menghasilkan data secara ‘real time’. Pengairan dan pembajaan automatic dilakukan mengikut data yang diterima dari ‘sensor’ tanah dan jika terdapat sebarang isu, para petani akan diberitahu melalui notifikasi email atau sms.

4. Analisis Data

Sistem ‘database’ konvensional tidak akan mempunyai storan data yang cukup bagi segala data yang diperolehi dari pelbagai ‘sensor’ IoT dalam sebuah ekosistem pertanian. Maka ‘cloud base data storage’ yang menjadi tapak simpanan dan pemprosesan data IoT memainkan peranan penting dalam pertanian pintar ini. Sistem ini bukan sahaja melengkapkan proses maklumat, malah menambahbaik segala keputusan yang perlu diambil oleh para petani.

IoT membantu mengumpul data, mencerna data, memberi kesimpulan tepat dan terperinci, melaporkan hasil data segala ‘sensor’, malah dengan kebijaksanaannya sendiri akan memberi inovasi terhadap tindakan yang perlu diambil samada secara automatic atau oleh petani itu sendiri. Dengan analisis ramalan oleh sistem IoT ini, petani dapat membuat jangkaan tentang jangkamasa menuai hasil, kondisi hasil sayur atau buah yang mahu dihasilkan serta kualitinya. Seiring dengan kualiti, kuantiti hasil juga dapat ditingkatkan dengan banyak.

5. Drone Pertanian

Kemajuan teknologi hampir merevolusikan keseluruhan proses operasi pertanian dengan kemunculan drone pertanian. Drone pertanian digunakan untuk memantau dan menilai kesihatan, situasi, keadaan, menentukan kadar meracun, dan anailisis lengkap bagi ekosistem ladang pertanian. Dengan strategi yang mantap berdasarkan maklumat ‘real time’, drone pertanian mampu mengubah seluruh wajah industri pertanian.

Misalnya drone yang dilengkapi ‘sensor’ suhu atau ‘multispectral sensors’ akan mengenalpasti kawasan yang kurang menerima pengairan. Apabila tanaman mula tumbuh dan membesar, ‘sensor’ dari kamera drone pertanian ini akan memberi laporan tentang tahap tumbesaran tanaman serta indeks pertumbuhan tanaman. Hasilnya, drone pertanian yang pintar ini memberi impak positif kepada tanaman dan ekosistem alam sekitar di mana terdapat banyak pengurangan dalam jumlah baja kimia terkumpul  bersama sumber air bawah tanah.