Secara umumnya Bandar Pintar ialah bandar yang tertanam di dalamnya sebuah eko-sistem teknologi digital di seluruh fungsinya. Bunyinya macam mudah, namun definisinya tidaklah semudah kata di bibir sahaja. Namun apakah hakikat kewujudan konsep Bandar Pintar ini sebenarnya? Apa yang pintarnya?

Antara tujuan mewujudkan Bandar Pintar ialah untuk memastikan kelestarian alam sekitar, ekonomi dan budaya hidup manusia. Atau dalam kata lainnya; Bandar Pintar adalah pembangunan bandar yang memenuhi keperluan ekologi alam dan manusia hari ini tanpa mengabaikan potensi pembangunan masa hadapan berdasarkan keperluan dan potensi teknologi akan datang. 

3 Perkara dalam Bandar Pintar:

1. Pengangkutan Pintar (Smart Transportation)

Kita mungkin dah biasa tengok banyak syarikat automobil yang telah merekabentuk banyak rekacipta kenderaan masa depan yang akan memenuhi fungsi Bandar Pintar, termasuklah kereta terbang yang mahu dibina di Malaysia katanya. Daripada Toyota hinggalah Renault, kesemua syarikat ini berjaya mempamerkan kenderaan automatik penuh yang mampu memahami persekitaran jalanraya dan memandu sendiri. Jadi di masa depan, anak cucu kita mungkin tidak lagi memandu kenderaan mereka di Bandar Pintar. Mereka hanya perlu berkomunikasi dengan kenderaan mereka untuk bergerak dari Cyberjaya ke Putrajaya dengan efisyen sekali.

2. Sistem Pintar (Smart System)

Peranti-peranti canggih banyak menghubungkan kita semua. Segala data dari manusia, infrastruktur, kenderaan, trafik, cuaca dan sebagainya adalah aspek-aspek yang membawa konsep Bandar Pintar menjadi realiti. Walaupun terdapat beberapa isu yang dipersoalkan, dengan proses integrasi IoT di dalam kehidupan penghuni Bandar Pintar tersebut, ia akan menjamin kehidupan yang amat selesa dan mudah. Scott Allen, Ketua Pegawai Marketing Freewave Technologies menyebut “kepelbagaian peranti yang melaporkan data seperti sensor, perkakasan berkamera pintar dan segala hardware pintar lain yang menghasilkan data akan menjadikan Bandar Pintar berfungsi”.

3. Sumber Tenaga Bersih & Pintar (Smart Energy)

Cakap-cakap di luar sana tentang mewujudkan bandar masa depan yang bersih, sifar pelepasan gas tercemar sebenarnya sudah tidak jauh dari realiti. Bandar Pintar akan memiliki komponen sumber tenaga bersih untuk menjana elektrik seluruh  bandar. Tenaga dalam Bandar Pintar adalah efisyen dan menggunakan elektrik secara optimum kerana terdapat pengumpulan dan analisis data secara ‘real time’ 24/7.

‘Grid Tenaga Pintar’ akan sentiasa berkomunikasi dalam ekosistem bandar untuk menyalurkan tenaga ke bahagian yang kurang tenaga dan menyimpan tenaga di bahagian yang tidak memerlukannya.

Tenaga solar dan angin juga boleh dituai setiap hari dan dihantar melalui Grid Tenaga Pintar ini ke kawasan bandar yang memerlukan. Tenaga solar juga akan menjadi normal di atas bumbung-bumbung bangunan di Bandar Pintar ini, begitu juga dengan turbin yang menghasilkan tenaga daripada angina dari pelbagai jenis saiz. Pembangunan menyeluruh di dalam Grid Tenaga Pintar ini yang meliputi penjimatan tenaga bersih khususnya, akan menzahirkan cita-cita kita semua tidak lama lagi.